Survei secara Online
Anda boleh menggunakan internet dalam melakukan survei (tinjauan) anda . Biasanya ia lebih murah, cepat dan selesa.
Walau bagaimana pun, terdapat beberapa masalah yang perlu diambilkira – bergantung bagaimana anda melakukannya.
Ada dua pendekatan berbeza di bawah kategori Survei secara Online. Namun, ia memberi kesan yang sangat berbeza terhadap hasil kajian anda nanti.
- Anda mempunyai senarai alamat-alamat email (atau kontak whatsapp/facebook dsb) dan anda soal sesiapa yang sesuai atau berkaitan dengan kajian anda, tapi hanya orang-orang tersebut, untuk mengambil bahagian dalam soal selidik anda. Sama ada anda kepilkan survei anda pada mereka dalam email anda, atau anda muat naik borang soal selidik anda di internet dengan menggunakan password atau kata laluan yang anda berikan pada mereka.
- Anda membuat Survei Online yang terbuka pada semua orang yang mana terpulang pada sesiapa yang mahu menyertai soal jawab tersebut. Anda tanya pada jejaringan komuniti tertentu untuk menyertainya dan mengiklankan di media atau di blog anda atau blog teman-teman anda.
Bagi kedua-dua pendekatan ini, anda harus ingat :
- Apakah kesemua kumpulan sasar anda punya akses internet yang baik dan apakah mereka sudah biasa dengan cara ini? Walaupun anda punya alamat email mereka, mungkin mereka hanya buka akaun emailnya sekali-sekala sahaja dan tidak tahu bagaimana cara menjawab soalan di internet. Siapakah di dalam kumpulan tersebut yang akan tersisih dari survei online ini?
- Fikirkan tentang keselamatan. Sama seperti apabila anda bersua muka dengan orang lain, mereka perlu percaya pada anda. Mereka harus yakin yang anda akan simpan rahsia serta maklumat yang mereka berikan tidak diketahui orang. Akan tetapi bila berhubungan melalui internet, orang lain mungkin boleh membaca atau memperolehi data tersebut. Apakah ianya ancaman yang mungkin sekali berlaku? Jika ya, gunakan kaedah survei online yang menjamin sekuriti atau keselematan.
Menggunakan Email atau Kontak Media Sosial tertentu
Seperti mana Survei secara Online yang mana anda sudah tahu siapa yang anda hubungi, pertimbangan yang sama juga dipakai bila kita membincangkan pensampelan rawak dan pensampelan konvenien (pensampelan mudah). Ia hanyalah alat komunikasi yang berbeza dan bukannya kaedah yang berbeza.
Jika anda punya senarai lengkap (atau hampir lengkap) alamat email kumpulan sasar anda, maka anda bolehlah buat pensampelan rawak dan dapatkan hasil kajian yang sangat baik. Mungkin anda boleh dapatkan senarai semua pelajar di kolej anda? Atau mungkin orang-orang agama yang anda mahu buat tinjauan itu mempunyai senarai nama-nama ahli dan mereka sudi berikannya pada anda? Atau mungkin anda bekerja di syarikat besar yang mana para pekerjanya datang dari latarbelakang sosial dan etnik yang berbeza?
Jika anda tidak punya senarai sedemikian, tetapi gunakan dan kontak Media Sosial atau apa-apa saja senarai nama yang anda boleh cari, maka ia akan jadi pensampelan konvenien dan anda harus gunakan pertimbangan-pertimbangan yang sama seperti yang diterangkan di seksyen tersebut.
Kekurangan dari cara menggunakan email, berbanding dengan wawancara secara bertemu muka, ialah tidak semua orang akan menjawab soal selidik anda. Perbezaan antara kumpulan sasar anda dengan orang yang benar-benar menyertainya disebut sebagai ralat liputan (coverage error). Anda harus sebutkan ralat liputan ini (secara peratusan) semasa anda terbitkan hasil kajian anda. Sekiranya separuh dari orang yang anda hubungi itu mengisi borang soal selidik anda, maka hasil kajian anda masih signifikan atau sahih. Jika tidak sampai separuh yang memberi jawapan, maka anda harus menghubungi mereka lagi.
Pilihan memilih diri sendiri
Bila ia berkaitan dengan soalan-soalan yang tersangat peribadi, maka ini adalah pilihan yang menarik – dan biasanya ramai wanita menganggap soalan mengenai Sunat Perempuan sebagai sangat peribadi. Oleh kerana peserta yakin yang tiada siapa akan tahu identiti mereka, termasuklah anda, maka mereka akan memberi jawapan yang lebih jujur.
Masalah besarnya ialah bahawa ia pastinya tidak mewakili atau memberi gambaran yang tepat. Apatah lagi jika akhirnya anda dapati bahawa latarbelakang para peserta lebih kurang mewakili apa yang disangkakan dari komuniti atau masyarakat anda. Orang lebih cenderung menjawab soalan-soalan secara sukarela apabila mereka sukakan topik tersebut. ‘Majoriti senyap’ mungkin mempunyai sikap yang sangat berbeza sekali. Mungkin sekali orang-orang yang menyertai survei anda telah pun dengar tentang Sunat Perempuan, dan mungkin sudah pun peka terhadap masalah-masalah berkaitan Sunat Perempuan. Lalu, anda akan menarik ramai orang yang punya pendapat kuat tentang isu ini – sama ada yang menyokong atau pun yang menentangnya.
Kemungkinan besar, peratusan orang yang menjawab bahawa amalan Sunat Perempuan wujud dalam keluarga atau persekitaran mereka, akan lebih tinggi dari yang dalam kumpulan sasar anda. Ia kerana orang yang tidak pernah dengar mengenai Sunat Perempuan tidak akan mahu menyertai kajiselidik anda. Mungkin bilangan ibubapa yang tidak lagi mengamalkan Sunat Perempuan terhadap anak2nya serta menentang Sunat Perempuan akan jadi lebih tinggi. Ia kerana orang yang menganggap Sunat Perempuan sebagai perkara biasa dan tidak pernah mempersoalkan amalan tersebut, tidak berminat untuk menyertai tinjauan anda.
Namun, sebaliknya juga mungkin berlaku. Mungkin sesetengah pendukung amalan Sunat Perempuan akan cuba ‘mensabotaj’ kaji selidik anda dengan memberi jawapan palsu dan dengan identiti palsu juga. Sesetengah peserta mungkin langsung tidak tergolong dalam kumpulan sasaran anda. Contohnya, kumpulan sasar anda ialah wanita di Kuwait, akan tetapi wanita dari Iraq atau U.A.E. pula yang menjawabnya kerana mereka terjumpa survei anda dan mereka tidak tahu yang survei itu bukanlah untuk mereka. Bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku, anda perlu mengesahkan dalam soalan pertama anda yang peserta survei tersebut tergolong dalam kumpulan sasar anda. Ia akan mengelak dari pekerja-pekerja migran menjawabnya, sekiranya mereka tidak tergolong dalam kumpulan sasar anda.
Sekarang, mungkin anda tertanya-tanya : Apa gunanya survei pilih diri sendiri jika hasil kajiannya boleh jadi sangat salah nanti?
- Ia boleh memberitahu anda jika amalan Sunat Perempuan merupakan suatu masalah yang masih relevan atau masih berlaku.
- Ia boleh memberi anda petunjuk, kumpulan kecil yang mana dari kumpulan sasar anda, yang masih mempunyai masalah Sunat Perempuan dan mana yang tidak. Jika anda tanya para wanita dari Iraq yang menyertainya dan hanya wanita ahli Sunnah wal jamaah saja yang menyertainya, maka anda boleh menganggap bahawa wanita Shiah tidak begitu terkesan dengan amalan Sunat Perempuan.
- Ia boleh memberi anda hasil-hasil dapatan kajian yang berguna mengenai sebab-sebab FGM dilakukan, bagaimana ia dilakukan, semasa umur berapa, dsb.
Akhir sekali, ia boleh jadi alat kempen. Dengan mengiklankan survei anda di pelbagai jejaringan, kumpulan dan media, anda telah meningkatkan kesedaran mengenai isu ini.
Terdapat alat percuma untuk mewujudkan kaji selidik dalam talian seperti SurveyMonkey atau Survey Software Comparison (Wikipedia).
Pergilah ke “Bagaimana Menggunakan Borang Soal Selidik yang Asas”
Dalam sesetengah keadaan, survei melalui internet malah mungkin merupakan pilihan yang paling tepat. Sebagai contoh, jika kumpulan sasar anda, atau sebahagian dari kumpulan sasar anda tinggal di tempat-tempat asing yang jauh atau anda ingin hubungi masyarakat diaspora (ahli-ahli sesuatu masyarakat yang telah berpindah atau membawa diri ke tempat-tempat yang berlainan) . Ia juga merupakan suatu cara untuk mengatasi masalah undang-undang yang ketat. Di negara-negara yang punya pemantauan tinggi, anda boleh mengelak dari disoalsiasat atau dikacau oleh polis tempatan.