Titik Permulaan
Sekarang, mari kita rancang bersama-sama suatu survei atau kaji selidik yang kecil mengenai Sunat Perempuan.
Sebelum anda mula dengan konsep survei anda, ada beberapa perkara yang perlu anda fikirkan:
- Apakah undang-undang yang sedia ada? Tidak di semua tempat atau semua orang bebas melakukan kajian – sekurang-kurangnya tidak secara rasmi. Jika demikian keadaannya di negara anda, maka anda boleh dapati cadangan-cadangan di bahagian “Survei Online” kami, iaitu setelah anda baca bahagian “Kumpulan Sasar”.
- Pertimbangkan dengan teliti tentang kerangka masa dan keupayaan anda : tentang tenaga kerja yang boleh menolong anda, dan berapa waktu dan wang yang anda mampu belanjakan. Fikirkan tentang kos (fotostat, kenderaan dsb). Saiz survei atai kaji selidik anda akan bergantung pada faktor-faktor tersebut !
- Apakah sebenarnya yang anda mahu tahu? Apakah anda punya hipotesis yang sangat jelas? (Hipotesis bermakna suatu andaian berdasarkan bukti terhad yang memerlukan kajian lanjut) Atau apakah anda berminat dengan survei (tinjauan) penerokaan? Gariskan objektif survei anda – Anda harus menyatakan idea anda dalam satu atau dua ayat.
- Lebih baik jika Mudah dan Ringkas. Kaji selidik kecil-kecilan yang berkesan lebih baik daripada kaji selidik yang besar yang cuba buat segalanya, tapi gagal. Mulakan dengan sampel yang agak kecil. Anda malah boleh mulakan dengan keluarga dan teman-teman anda terlebih dahulu. 100 adalah saiz yang bagus. Jika anda mahu lebih besar, maka anggaplah ia sebagai sampel ujian.
Perlu diingat bahawa manual ini hanya boleh memberi cadangan-cadangan umum. Borang soal selidik kami mungkin hanya bertugas sebagai model pada projek anda. Anda perlu sesuaikannya menurut keadaan di tempat anda.
Anda mulakan dengan memilih sampel anda. Bagaimana anda boleh melakukannya? Anda boleh ketahuinya dalam bahagian seterusnya yang bertajuk “Kumpulan Sasar”.
Kami akan menyediakan untuk anda suatu borang soal selidik yang asas, yang telah terbukti berhasil dan berkesan walau di mana pun ia dibuat. Kami juga memberi beberapa cadangan tentang soalan-soalan yang boleh ditambah bergantung pada keadaan persekitaran anda dan pada apa yang anda mahu tahu. Sebagai tambahan lagi, jika anda mahu yang lebih mencabar, kami berikan beberapa contoh perspektif baru dalam isu Sunat Perempuan di dalam modul-modul tambahan.